1 maut, 9 cedera akibat dihempap pokok

1 maut, 9 cedera akibat dihempap pokok

Kejadian itu membabitkan dua kereta dan tiga motosikal di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown awal pagi tadi.

Keadaan di lokasi kejadian selepas pokok tumbang menghempap beberapa kenderaan dan meragut nyawa penunggang motosikal, pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal maut, manakala sembilan lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown awal pagi tadi.

Kejadian itu dikatakan membabitkan dua kereta dan tiga motosikal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.26 pagi.

Katanya, seramai 18 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan dan ia membabitkan 10 mangsa.

“Anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

A’azelan berkata, salah seorang penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi lelaki masing-masing mengalami patah kaki.

“Mangsa yang lain mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, mereka juga turut melakukan kerja pembersihan di lokasi bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum operasi tamat pada 5.58 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.