
Zahid Hamidi memberitahu Anwar Ibrahim bahawa Umno akan mempertahankan penguasaan PH di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, walaupun tiada wakil Umno dalam exco tiga negeri itu meskipun bersama dalam kerajaan perpaduan.
“Sudah tentu, kita bersama-sama rakan politik dalam kerajaan, sesungguhnya kita bertekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.
“Anwar jangan lupa kita mahu wakil Umno dalam ketiga-tiga kerajaan negeri itu,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena perhimpunan agung Umno, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sementara itu, Zahid berkata Umno memikul amanah menerajui kerajaan perpaduan di negeri-negeri “Jalur Melayu” pada PRN akan datang, iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Tiga negeri itu kini ditadbir Perikatan Nasional, dengan menteri besar daripada PAS.
“Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam. Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih,” kata Zahid.
“Soal keperluan air bersih, umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba. Apakah mereka tidak diberi peluang? 33 tahun menjadi pemerintah dan wakil mereka pernah menjadi menteri yang menjaga air, air karat masih gagal dijernihkan.”