
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata ini kerana maklum balas diberikan pemain sektor itu mengatakan banyak syarikat di Malaysia tidak melihat kepentingan untuk mereka membuat pelaburan dalam aspek keselamatan siber.
“Bila kita lihat ekonomi digital bakal menyumbang 25.5% kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2025, sudah pasti antara aspek yang sangat penting selain ekonomi digital itu sendiri ialah keselamatan siber dan perlindungan data.
“Maka hasil pertemuan malam ini (tadi), saya lihat ada kewajaran dan keperluan untuk mengadakan perbincangan yang lebih meluas dengan sektor korporat dan juga mungkin melalui badan-badan profesional yang mewakili syarikat untuk mewujudkan satu kesedaran mengenai keselamatan siber,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog awam industri keselamatan siber anjuran CyberSecurity Malaysia (CSM) malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta Ketua Pegawai Eksekutif CSM Amirudin Abdul Wahab.
Fahmi juga berkata, menerusi sesi dialog awam itu, beliau berharap sektor keselamatan siber akan terus mendampingi CSM untuk merangka, merancang serta melaksana beberapa perkara berkaitan aspek keselamatan siber dalam negara.
Sementara itu, CSM dalam kenyataan memaklumkan sesi dialog awam tersebut bertujuan memantapkan lagi usaha Kementerian Komunikasi dan Digital sebagai peneraju pembangunan industri keselamatan siber negara dalam mendepani cabaran serta ancaman siber yang semakin kompleks.
Sesi itu yang dihadiri 200 pemain industri turut menjadi platform untuk saling bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman mengenai isu keselamatan siber.