
Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, berkata tindak balas kedua-dua pemimpin gabungan itu terhadap kenyataan Sanusi baru-baru ini mempunyai kesan di sebaliknya untuk menaikkan nama dan meletakkannya di tengah-tengah wacana politik negara.
Jeniri percaya kedudukan ketua Perikatan Nasional (PN) Kedah itu akan terus meningkat selagi beliau kekal sebagai sebahagian daripada wacana tersebut.
“Kenyataan pemimpin PH dan BN (mengkritik Sanusi) menyumbang kepada perbincangan (politik), dan ia akan dibincangkan secara berterusan dan seterusnya menjadi sebahagian daripada perbualan harian.
“Pemimpin seperti Sanusi sentiasa mahu menjadi perhatian umum. Ini agendanya,” katanya kepada FMT.
Ahli akademik itu percaya walaupun kebanyakan kenyataan Sanusi baru-baru ini tanpa merit, beliau berjaya menarik perhatian orang ramai di negeri utara yang begitu penting kerana PRN akan diadakan tidak lama lagi.
Justeru, pemimpin PH dan BN mesti menyelaraskan “serangan” mereka dan bergantung kepada “naratif yang jelas” untuk menentang Sanusi, katanya.
Sejak memegang jawatan pada 2020, Sanusi tidak pernah lari daripada kenyataan kontroversi, termasuk komen berbaur perkauman seperti mencadangkan pemimpin India “mabuk todi”, dan merujuk kepada pemain bola sepak asing sebagai “Awang Hitam”.
Sanusi mencetuskan kontroversi sekali lagi baru-baru ini dengan mendakwa negerinya “memiliki” Pulau Pinang, mengatakan bahawa wilayah kesultanan Kedah meluas hingga ke Balik Pulau di Pulau Pinang.
Kenyataan beliau mencetuskan kemarahan beberapa ahli politik PH dan BN, khususnya pemimpin DAP, dengan RSN Rayer malah melabelkan dakwaan Sanusi sebagai “menghasut”.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia bagaimanapun berkata pakatan PH-BN tidak akan mampu menawan Kedah pada PRN akan datang hanya dengan menyerang Sanusi.
Beliau berkata, tindakan itu hanya akan meningkatkan populariti Sanusi di negeri berkenaan kerana pendekatannya disambut baik di peringkat akar umbi.
“Sanusi menonjolkan dirinya sebagai ‘orang biasa’ (dengan) keperibadiannya dan caranya bercakap, walaupun menimbulkan kontroversi serta tidak disukai oleh golongan elit bandar,” kata Azmi kepada FMT.
“Gaya tidak formalnya ditujukan untuk penyokongnya, terutama orang kampung di Kedah,” katanya sambil menambah Sanusi sentiasa menjangkakan dicaci oleh lawannya.