
Laporan dari Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak itu disediakan susulan permohonan pihak pendakwaan selepas peguam bela Hafidz, Akberdin Abdul Kader pada prosiding sebelum ini memaklumkan anak guamnya menghidap bipolar.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini, menurut Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Hakim Mohd Kafli Che Ali yang bertindak sebagai majistret menetapkan 17 Julai ini untuk serahan dokumen.
Terdahulu, Akberdin memohon sesalinan laporan psikiatri itu diserahkan kepada pembelaan.
Asmaa’ memaklumkan pihaknya akan menyerahkan salinan laporan itu bersama dokumen lain.
Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 3.30 pagi, 2 Mac lalu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.
Pertuduhan terhadap Hafidz dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan bawah Seksyen 323.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016, hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Sementara itu, kes pengesahan lafaz cerai membabitkan pasangan tersebut akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 20 Jun ini.