Dulu dah ada proklamasi Melayu, tapi tak dijaga, kata Tajuddin

Dulu dah ada proklamasi Melayu, tapi tak dijaga, kata Tajuddin

Tajuddin Abdul Rahman berkata proklamasi Melayu pernah dibuat pada 2018, yang kemudian dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, berkata pemimpin Umno dan PAS yang diberi tanggungjawab mengurus Muafakat Nasional tidak menjaganya dengan baik.
KUALA LUMPUR:
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, berkata Proklamasi Orang Melayu yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bukan sesuatu yang baru.

Sebaliknya, insiatif serupa pernah dilakukan sebelum ini, pada 2018, oleh beliau sendiri di Pasir Salak, katanya.

“Dia (Mahathir) lewat. Saya dah buat dulu daripada dia. Saya pada 2018 kumpul Melayu semua di Pasir Salak. 50,000 orang datang. Hadi Awang (presiden PAS) datang rumah saya berdiri atas pentas,” katanya kepada pemberita di tepian perhimpunan agung Umno 2023 petang tadi.

Beliau meminta orang yang meragui perkara ini supaya melihat ‘perhimpunan Melayu’ itu di laman video popular, YouTube.

“Hadi pertama kali datang dan duduk atas pentas bersama pemimpin Umno.”

Tajuddin berkata inisiatif itu kemudian membawa kepada Muafakat Nasional, kerjasama yang dibentuk oleh Umno dan PAS selepas PRU14.

Suatu jawatankuasa malah dibentuk untuk mengurus kerjasama itu, namun beliau kecewa pemimpin Umno dan PAS yang diberi tanggungjawab tidak menjaga dengan baik.

“Mereka patut jaga!” kata Tajuddin, mengenang kembali inisiatif yang terbantut itu.

“Jawatankuasa dibentuk oleh Zahid Hamidi untuk menguruskannya. Siapa ketuanya? Tok Mat (Mohamad Hasan). Siapa ahli jawatankuasa? Zambry Abd Kadir, Asyraf Wajdi Dusuki.

“Annuar Musa…Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan. Nak nama lagi?” katanya.

Mahathir sebelum ini berkata proklamasi yang diilhamkannya itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan daripada beberapa pemimpin parti pembangkang, termasuk Presiden PAS Hadi Awang, dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.