SPRM bebaskan OCPD dengan bon

SPRM bebaskan OCPD dengan bon

Mahkamah majistret di Kuantan menolak permohonan permohonan reman SPRM semalam.

SPRM pada Selasa menahan seorang ketua polis daerah di Pahang yang disiasat atas dakwaan menerima rasuah bagi ‘melindungi’ pusat hiburan dan pusat urut.
PETALING JAYA:
Seorang ketua polis daerah di Pahang, yang disiasat atas dakwaan menerima rasuah bagi ‘melindungi’ pusat hiburan dan pusat urut, dibebaskan dengan bon, kata peguamnya.

Bob Arumugam berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuantan membebaskan anak guamnya dengan bersyarat, pada sekitar 4 petang semalam.

Pegawai polis berusia 53 tahun itu diarah melapor diri kepada cawangan SPRM sebulan sekali sehingga siasatan ke atas kes bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM itu selesai.

Dia ditahan pada Selasa malam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta antara 2017 dan 2022.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuantan menolak permohonan reman SPRM.

Arumugam berkata Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan itu kerana keputusan terbaharu suatu kes lain di Mahkamah Tinggi Temerloh.

SPRM membuat permohonan reman itu bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ). Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Temerloh pada 11 Mei memutuskan bahawa SPRM tidak boleh menggunakan KTJ untuk reman suspek.

Sebaliknya, menurut Pesuruhjaya Kehakiman Roslan Mat Nor, Seksyen 49 SPRM jika dibaca secara keseluruhan hanya membenarkan tangkapan dibuat pada penghujung siasatan.

Katanya, meskipun Akta SPRM membenarkan seseorang ditahan, suspek mesti dibebaskan dengan jaminan atau bon sekiranya siasatan tidak lengkap.

Namun suspek mungkin boleh ditahan semula tanpa waran jika melanggar syarat jaminan, kata Roslan.

Beliau berkata SPRM boleh menahan seseorang sehingga 24 jam dan mesti memohon reman, mengikut Seksyen 49(4) Akta SPRM untuk tempoh penahanan yang lebih panjang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.