
Program ini yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan 13 pengendali pelancongan tempatan, menawarkan 18 pakej menarik untuk pilihan pelancong.
Kempen Durian Tourism 2023 ini akan memperkenalkan lebih banyak destinasi “second tier” sekaligus memberikan impak kepada kegiatan ekonomi setempat, menurut Pengarah Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar.
“Keunikan pakej ini (adalah ia) berupaya meningkatkan daya saing di samping memberikan kesedaran berhubung perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Usaha ini selaras teras lima dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, iaitu memperkukuh komitmen terhadap pelancongan lestari,” katanya.
Tambahnya, dengan permintaan tinggi terhadap produk pelancongan sebegini, pembangunan prasarana diharapkan akan bertambah baik.
Ini akan mewujudkan jaringan perniagaan yang kukuh, bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri secara khusus, malah meliputi pelbagai sektor lain.
Pakej Durian Tourism 2023 bermula dari RM50 seorang untuk bufet durian, dan Pakej 3 Hari 2 Malam bermula dari RM1,740 seorang dengan tempahan minimum 15 orang.
Aktiviti yang ditawarkan termasuk mengutip, menjamu selera dengan durian dan buah-buahan lain, menyediakan pelbagai minuman berasaskan halia, membuat tempoyak, dan merasai pengalaman tinggal di kampung.
Pakej-pakej yang ditawarkan meliputi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, dan Pahang.
Bagi edisi kali ini, Tourism Malaysia juga mengambil inisiatif memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara, seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura, dan Brunei.