
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata KSU Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan dipanggil pada 15 Jun ini.
“Mereka dipanggil bagi menerangkan isu perolehan dan pengurusan wabak Covid-19 yang meliputi isu 1.1 juta dos vaksin tamat tempoh, 93 unit ventilator tidak dapat digunakan serta lebihan stok cover boot dan protective suit,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil KSU Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan dipanggil pada 14 Jun ini, bagi memberi penjelasan mengenai kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset, serta bayaran bagi Skim Subsidi Harga Padi.
Selain itu, beliau berkata PAC turut akan memanggil ketua setiausaha perbendaharaan dan KSU Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ketua Pegawai Eksekutif Felcra pada 27 Jun kerana penyata kewangan beraudit Felcra untuk 2019, 2020 dan 2021 masih belum dimuktamadkan.
“PAC juga akan mendapatkan taklimat berkenaan Program Jana Wibawa daripada Kementerian Kewangan,” katanya.
Katanya, semua KSU kementerian itu dipanggil menghadiri prosiding berkaitan isu berbangkit melibatkan kementerian masing-masing, susulan taklimat bersama Jabatan Audit Negara.
Menyentuh mengenai prosiding PAC, Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu berharap agar prosiding akan dapat diadakan secara terbuka mulai tahun depan, selaras dengan agenda reformasi institusi kerajaan.
“Saya percaya pihak pentadbiran Parlimen Malaysia telah bersiap sedia dan mempunyai kemampuan dari segi sumber manusia dan peralatan teknologi maklumat, untuk menjalankan prosiding secara terbuka,” katanya.