
Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara itu berkata apabila menandatangani perjanjian pada masa depan, pemerintah harus tunjukkan ia mahu telus dengan rakyat.
“Kerajaan harus menjamin fasal NDA tidak digunakan untuk menafikan hak rakyat mengetahui. Itu amat penting,” kata Wong (PH-Taiping) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata meskipun fasal NDA mungkin menyebabkan sesuatu maklumat tidak dapat dihebahkan kepada umum, “tapi kita tidak boleh mengekang wakil rakyat, pengubal undang-undang, ataupun jawatankuasa yang bertanggungjawab melakukan siasatan.”
Wong mengingatkan kerajaan bahawa perbincangan tentang perolehan vaksin Covid-19 tidak dapat elak daripada menimbulkan isu harga.
“Tapi selalunya apa yang dinyatakan adalah ‘NDA’. Kita tak dapat elak daripada bertembung NDA,” katanya.
Sementara itu, Wong mendedahkan bahawa PAC juga diminta menandatangani suatu akuan rahsia ketika mengadakan prosiding pada Januari 2021, atas alasan NDA.
PAC bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak menandatangani akuan tersebut kerana khuatir ia akan menybabkan siasatan terbantut atau tergendala.
Wong pada Mac menggesa Kementerian Kesihatan mendedahkan secara terperinci jumlah kerugian dan kos bagi setiap dos vaksin Covid-19.
Wakil rakyat DAP itu berkata beliau terkilan kerana dijawab dengan “NDA” setiap kali apabila isu perolehan vaksin disentuh.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilapor berkata maklumat terperinci setiap perjanjian tidak boleh didedahkan, termasuklah harga vaksin, kerana kerajaan terikat dengan NDA.