Keadaan Malaysia bertambah buruk jika tiada perubahan dibuat, kata Anwar

Keadaan Malaysia bertambah buruk jika tiada perubahan dibuat, kata Anwar

Perdana menteri berkata semua parti dalam kerajaan perpaduan bersetuju Malaysia mungkin akan mundur sekiranya tiada komitmen politik jelas.

Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama Aljazeera untuk satu dokumentari yang disiarkan hari ini. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Walaupun terdapat perbezaan dalam parti yang membentuk kerajaan perpaduan, Anwar Ibrahim berkata mereka bersetuju dengan satu perkara – keadaan negara akan bertambah buruk sekiranya tiada langkah diambil untuk membuat perubahan sekarang.

Dalam satu temubual bersama Aljazeera yang disiarkan hari ini, perdana menteri ditanya sama ada kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti lain bermakna beliau terpaksa berkompromi dengan dasar dalam janji yang dibuat pada pilihan raya umum November tahun lalu.

“Ya, terdapat pelbagai parti politik. Tetapi apa yang penting – adakah mereka bersetuju bahawa keadaan di negara ini akan menjadi semakin buruk sekiranya tiada langkah diambil untuk membuat perubahan sekarang? Mereka bersetuju.

“Adakah mereka bersetuju masalah utama isu ini adalah tata kelola yang baik? Ya. Adakah mereka bersetuju rasuah menjadi penyakit di negara ini? Ya. Dan sudah pasti, kami sesuaikan dasar,” katanya kepada stesen penyiaran satelit berpangkalan di Dubai itu.

Ketika ditanya adakah sejarah pengkhianatan dan kegagalan gabungan sebelum ini menyebabkan beliau sukar untuk mempercayai sesiapa, Anwar menjawab “Ya”.

“Tetapi manusia berubah. Kami juga melakukan kesilapan sebelum ini tetapi kami diberi peluang (untuk memerintah). Kenapa perlu berkeras sangat dengan orang lain?

Anwar juga mengulangi semula komitmen beliau untuk mengubah dasar tindakan afirmatif negara untuk menjadikan ia berasaskan keperluan bukannya bangsa, dan menegaskan bahawa negara ini memerlukan perubahan.

“Melainkan ada satu komitmen politik yang jelas, satu keazaman untuk berubah, saya tak percaya Malaysia akan bangkit,” katanya.

Dalam episod itu Aljazeera turut menemubual Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang mendakwa rakyat masih bersama pembangkang.

“Rakyat masih bersama kami dan mereka tidak percaya kerajaan ketika ini boleh mengurus (negara) dan … mungkin mereka hanya menunggu kami mengambil alih kerajaan,” katanya.

Mengulas mengenai keyakinan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan sebelum pilihan raya umum seterusnya, Anwar menafikan adanya ancaman serius terhadap pentadbirannya, dan menegaskan gabungannya itu mempunyai majoriti dua pertiga.

“Mereka memberi tekanan tetapi ia tidak memberi kesan pada kedudukan kerajaan,” katanya.

Selepas memegang jawatan yang sudah lama diperjuangkannya, Anwar berkata, beliau kini perlu berjaya. “Saya kini bukan lagi ketua pembangkang dan perlu berjaya. Ia memerlukan banyak kesabaran dan lebih kepada toleransi dan menerima kritikan.”

Dokumentari Aljazeera turut menampilkan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan anak perempuannya, Nurul Izzah, bagi menyingkap bagaimana perjuangan penuh liku Anwar memberi kesan kepada keluarga dan kehidupan peribadinya, terutama ketika dua kali dihukum penjara.

Mengimbau kembali kejadian pada 1998 di mana beliau ditumbuk Ketua Polis Negara ketika itu Abdul Rahim Noor, Anwar berkata: “Pada malam itu saya diserang dengan teruk.. Saya hanya fikirkan keadaan kedua ibu bapa saya, Azizah dan keluarga. Kerana serangan yang teruk itu, saya fikir saya mungkin akan mati.”

Serangan itu meninggalkan kesan lebam di mata Anwar, yang kemudiannya diadaptasi untuk digunakan dalam simbol Parti Keadilan Nasional (kini PKR). Rahim Noor kemudiannya dihukum penjara dua bulan dan didenda RM2,000 kerana serangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.