
Ketua Pemuda Akmal Saleh mengingatkan perwakilan bahawa Umno tidak boleh bertelagah dan berpecah pada ketika ia harus merapatkan barisan.
“Jangan kita sindir-sindir ahli kita yang di ‘luar’, jangan perkecilkan mereka…mereka juga mempunyai jasa kepada parti; jangan sindir bekas ahli, mereka ada jasa kepada kita,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno bagi sayap itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
“Saya percaya ramai sayangkan Umno – yang jauh kita rapatkan, yang terguris kita pujuk. Umno tak mampu untuk berpecah dan bertelagah.”
Akmal berkata PRU15 menunjukkan jenama ‘Umno’ terjejas teruk di mata rakyat, hakikat yang harus diakui mereka.
Berkongsi pengalamannya ketika berkempen ketika pilihan raya itu, Akmal mendapati pengundi langsung tidak bercakap tentang calon yang parti ketengahkan.
“Para pengundi terlalu banyak menekan kita berkenaan isu-isu nasional dan isu dalaman parti yang berlaku sebelum PRU15,” katanya.
Beliau mengingatkan para ahli bahawa rakyat yang menentukan kelangsungan Umno, dan menyeru kepada perubahan mengikut kehendak rakyat agar terus relevan.
“Pemuda Umno sentiasa melahirkan pemimpin berwibawa, tetapi sebagus mana pun kualiti yang kita ada, sia-sia jika tiada permintaan daripada rakyat jelata,” tegasnya.
“Sekarang zaman parti politik perlukan pengundi. Rakyat boleh hidup tanpa parti politik,” katanya.