Umno Selangor sedia terima kembali Noh, kata Jamal

Umno Selangor sedia terima kembali Noh, kata Jamal

AJK Umno Selangor, Jamal Yunos berkata partinya mengalu-alukan mana-mana bekas ahli yang ingin kembali ke pangkuan.

AJK Umno Selangor, Jamal Yunos (kanan) akui amat berdukacita bekas ketuanya, Noh Omar dilihat bersama seteru parti.
PETALING JAYA:
Umno Selangor sedia menerima kembali bekas ketuanya, Noh Omar, meskipun kebelakangan ini beliau dilihat bersama Perikatan Nasional.

Ahli Jawatankuasa Jamal Yunos berkata partinya mengalu-alukan bekas ahli yang ingin kembali dan menyumbang kepada Umno, walaupun beliau akui amat berdukacita bekas ketuanya dilihat bersama seteru.

“Itu hak beliau tetapi sebagai orang yang banyak menikmati hasil daripada Umno, akhirnya berada di pentas lawan, itu saya sangat kecewa,” katanya kepada FMT.

“Saya sangat menghormati Noh. Saya tak nafi jasa dia kepada Umno, saya cuma ingin menasihati bekas bos saya dulu supaya berjiwa besar.”

Umno pada Januari memecat Noh atas alasan melanggar disiplin parti sewaktu PRU15. Noh merupakan bekas pengerusi parti itu di Selangor.

Umno baru-baru ini mengumumkan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad, kembali menjadi ahli parti itu. Isa meninggalkan Umno pada 2018 kerana ingin bertanding pada PRK Port Dickson, selepas parti itu tidak meletakkan calon menentang Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Umno tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menyumbang.

Noh dilihat cukup berpengaruh di Parlimen Tanjong Karang yang dipertahankan dalam PRU 1995 hingga 2018. Umno bagaimanapun gagal merampas Selangor daripada Pakatan Harapan sejak 2008.

Jamal akui bahawa Umno Selangor bawah pimpinan Noh tidak bangkit selepas kekalahan itu.

“Noh sudah memimpin Umno Selangor dua kali dan tiga PRU. Saya tak kata dia gagal sepenuhnya tetapi bawah kepimpinannya saya lihat Umno tak kembali bangkit,” katanya.

Noh pada awal bulan lepas dilapor berkata beliau akan berusaha menjadikan Tajong Karang kubu kuat PN.

Baru-baru ini, beliau berkata PN berpeluang merampas Selangor pada PRN akan datang kerana undi Melayu tidak berpecah, lantaran pertembungan satu lawan satu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.