Tuntutan Sulu sepatutnya selesai di Sepanyol dahulu, kata Azalina

Tuntutan Sulu sepatutnya selesai di Sepanyol dahulu, kata Azalina

Menteri di JPM membidas keputusan pihak menuntut yang 'melompat' ke mahkamah negara lain untuk penghakiman.

Azalina Othman Said menyifatkan tuntutan ke atas Sabah sebagai ‘penipuan Sulu’.
KUALA LUMPUR:
Pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu sepatutnya menyelesaikan tuntutan mereka ke atas Sabah di Sepanyol terlebih dahulu jika “benar-benar jujur dan telus”, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) mempersoalkan keputusan pihak menuntut yang “melompat” ke mahkamah negara lain untuk penghakiman mengenai perkara itu.

“Tindakan yang betul adalah menyelesaikan (tuntutan itu) di Sepanyol dan tidak melibatkan negara lain,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Azalina juga mempersoalkan desakan pihak menuntut yang mahu award yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini dilaksanakan sedangkan penghakiman itu masih dicabar.

“Sebab itu saya sering memanggil ia satu penipuan Sulu. Hanya orang yang menipu melakukan ini, mereka akan terus “melompat”, katanya.

Semalam, Malaysia menang pertikaian undang-undang di Perancis yang kemungkinan akan membatalkan award USD15 bilion berhubung tuntutan wilayah berkait dengan Sabah.

Mahkamah Rayuan Paris memutuskan mahkamah timbang tara yang mengarahkan Malaysia membuat bayaran kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu, tidak ada bidang kuasa dalam kes tersebut.

Azalina berkata, beliau berharap keputusan mahkamah itu akan membantu kes serupa yang bakal dibicarakan di mahkamah di Belanda dan Luxembourg masing-masing pada bulan ini dan September.

Katanya, mahkamah Paris itu turut mengarahkan bayaran kos €100,000 (RM491,400) kepada kerajaan Malaysia.

“Saya tertarik untuk tahu siapa yang akan bayar kita €100,000 itu. Saya tidak tahu adakah lapan penuntut itu akan membayarkan, atau pihak penaja mereka akan berbuat demikian.”

Kata Azalina, kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kebenaran didedahkan berhubung isu itu dan pihak yang menuntut akan membayar kosnya.

“Seseorang perlu membayar kos kita,” katanya.

Pada Mac, sebuah mahkamah di Paris mengekalkan perintah penangguhan yang diperoleh Malaysia, sementara menunggu keputusan dakwaan Putrajaya bahawa award mahkamah timbang tara itu melanggar kedaulatan Sabah.

Azalina semalam berkata, keputusan Mahkamah Rayuan Paris itu akan membatalkan award USD15 bilion tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.