Tunggu ketetapan Majlis Raja-Raja, jangan politikkan isu kalimah ‘Allah’, titah Sultan Selangor

Tunggu ketetapan Majlis Raja-Raja, jangan politikkan isu kalimah ‘Allah’, titah Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin berkata ia demi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) menitahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membawa isu penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos. (Gambar Selangor Royal Office)
PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak tidak mempolitik, membangkit atau membahaskan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad.

Baginda bertitah, ia untuk memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara ini.

Sultan Sharafuddin juga berpandangan, memandangkan perkara itu melibatkan sensitiviti agama di Malaysia, isu penggunaan kalimah “Allah” oleh orang bukan Islam ini perlu dimuktamadkan segera pihak kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

Titahnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bersetuju dengan cadangan baginda membawa isu itu kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos, sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja, pada Oktober.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian dalam kenyataan selepas Anwar menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin mengadakan perbincangan dengan Anwar yang menyampaikan sembah maklum berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland melawan menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

“Dalam perbincangan tersebut, saya selaku pengerusi MKI telah menyuarakan pandangan saya yang juga telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, bahawa perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras dengan fungsi MKI yang bertanggungjawab menasihatkan Raja-Raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat persekutuan.

“Saya percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Anwar dalam pertemuan dengan Sultan Sharafuddin, menjelaskan pendirian kerajaan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Beliau menghormati Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai ketua agama negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat persekutuan.

“Saya menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.

Anwar juga menegaskan pendirian kerajaan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.