
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia berbeza sebelum syarat ketat itu diperkenalkan yang mana negara hanya menerima RM958 juta dalam tempoh lima tahun dari 2015 hingga 2019.
“Jumlah pendapatan kepada kerajaan dalam tempoh itu RM958 juta tetapi bila syarat diketatkan, termasuk aset cair RM1.5 juta dan deposit tetap RM1 juta. Satu tahun ini saja dah cecah hampir RM1 bilion berbanding sebelum ini lima tahun.
“Jadi statistik berbicara, walaupun permohonan menurun tetapi disebabkan kita pergi kepada kualiti jadi nilainya jauh beza,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta kerajaan menyatakan rasional perubahan terkini dilakukan terhadap program MM2H.
Hasni menambah, syarat ketat MM2H itu menyebabkan pasaran hartanah di Johor suram, dan statistik lambakan rumah mewah tidak terjual di negeri berkenaan amat membimbangkan.
Antara syarat disemak semula pada 2021 itu mengkehendaki pemohon mempunyai akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta (sebelum ini RM300,000), aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta (sebelum ini RM500,000) dan pendapatan bulanan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000.
Saifuddin berkata, setakat ini sebanyak 375 permohonan program MM2H lulus, sementara 800 lagi permohonan sudah melepasi pra kelulusan dengan semua tapisan yang disyaratkan.
“Ini bermaksud bila lulus saja, ada RM800 juta dalam akaun perbankan negara dan ditambah dengan RM375 juta yang sudah ada (daripada permohonan sudah lulus),” katanya, memaklumkan sebanyak 2,000 permohonan baharu direkodkan sejak tahun lalu.
Sebelum ini, Persatuan Perunding MM2H mendakwa jumlah pemohon program itu menurun 90% sejak syarat ketat diperkenalkan.
Program MM2H, yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi persaraan antarabangsa, dibekukan pada 2020 dan disambung semula pada 2021 dengan syarat ketat ketika KDN bawah Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin.