Saksi tak pasti ‘penculik’ Pastor Koh ejen kerajaan, mahkamah diberitahu

Saksi tak pasti ‘penculik’ Pastor Koh ejen kerajaan, mahkamah diberitahu

Roeshan Celestine Gomez bagaimanapun menegaskan beliau menyaksikan keseluruhan 'penculikan' itu.

Isteri Pastor Raymond Koh, Susannah Liew, mengemukakan saman terhadap beberapa pegawai tinggi polis berhubung kehilangan suaminya, pada 2017.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi yang menyaksikan “penculikan” Pastor Raymond Koh pada 2017 memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pasti sama ada individu yang terlibat adalah pegawai polis atau ejen kerajaan.

Roeshan Celestine Gomez membuat pengakuan itu semasa soal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid, ketika perbicaraan saman keluarga Koh terhadap kerajaan.

Gomez ketika mengimbau kejadian itu berkata, beliau menyaksikan individu melakukan penculikan pada 13 Feb 2017 memakai pakaian tentera hitam, namun tidak dapat memastikan sama ada pakaian mempunyai apa jua lambang kebangsaan atau logo.

“Saya tidak mengingatinya,” katanya, apabila ditanya sama ada kenderaan utiliti sukan (SUV) di lokasi kejadian mempunyai logo polis.

Farhana kemudian mengajukan beberapa soalan kepada Gomez mengenai laporan polis dibuatnya pada hari kejadian. Beliau mendakwa kandungan laporan tersebut tidak konsisten dengan keterangannya di mahkamah termasuk kandungan dokumen dikemukakan keluarga Koh dalam tuntutan tersebut.

Farhana menyatakan bahawa laporan Gomez tidak menyebut nama penumpangnya dan model kereta di mana Koh ditarik keluar.

“Kamu tidak berbuat demikian kerana kamu tidak berada di tempat kejadian dan tidak pernah menyaksikan penculikan tersebut. Keterangan kamu di mahkamah dan pada pendengaran Suhakam (sebelum ini) adalah ‘pertimbangan semula’ setelah menonton rakaman CCTV dalam talian,” kata Farhana.

Namun, Gomez tidak bersetuju dan menegaskan bahawa beliau menyaksikan keseluruhan kejadian tersebut.

Peguam Jerald Gomez kemudian membantah persoalan dibangkitkan itu terhadap saksi berdasarkan dokumen dikemukakan kepada mahkamah.

“Ini adalah perkara undang-undang yang boleh dibangkitkan semasa hujahan,” katanya.

Farhana kemudiannya berkata, bahawa draf saman itu dibuat berdasarkan apa yang dilihat oleh Gomez (saksi).

Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo memberitahu peguam kanan persekutuan tersebut supaya tidak memberi andaian bahawa dokumen mahkamah didraf pihak plaintif berdasarkan apa yang dilihat Gomez.

“Undang-undang menyatakan soalan mengenai fakta yang tidak dapat dibuktikan tidak boleh disoal. Marilah kita dipandu undang-undang,” kata Su.

Pada 12 Feb 2020, isteri Koh, Susannah Liew, memfailkan tindakan undang-undang terhadap polis, ketua polis negara (KPN), dan beberapa bekas pegawai tinggi polis berhubung penculikan suaminya.

Senarai itu termasuk bekas KPN Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun; bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas, Awaluddin Jadid; dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed, dan bekas ketua JSJ Selangor, Fadzil Ahmat.

Liew menuntut ganti rugi atas kehilangan Koh, serta mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan akan penculikan tidak sah itu, dan misfeasans.

Terdahulu, Gurdial Singh Nijar selaku peguam yang mewakili keluarga Koh, berkata pihaknya akan menampilkan lima saksi.

Suhakam dalam inkuiri awam ke atas kehilangan Koh dan seorang lagi aktivis, Amri Che Mat, pada 2017 dan 2019, menyimpulkan mereka merupakan mangsa kehilangan paksa.

Perbicaraan disambung pada 20 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.