
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, landasan kereta api rentas negara itu ialah “idea bagus” yang akan memudahkan pergerakan “kargo pukal”.
“(Ini termasuk) minyak dan gas, arang batu, kayu, minyak sawit dan agregat. Mengangkut kargo pukal lebih murah menggunakan kereta api kerana kos setiap tan kilometer jauh lebih murah berbanding mengangkut menggunakan jalan raya,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, infrastruktur kereta api lebih tahan lama dan, seperti landasan kereta api Malaya, berpotensi bertahan hingga 100 tahun, selain kurang terdedah kepada bencana alam.
“Bagi pengangkutan jarak jauh, (menggunakan) landasan kereta api adalah lebih baik berbanding jalan raya kerana jalan raya terdedah kepada pelbagai jenis (potensi) kerosakan seperti tanah runtuh dan hakisan,” katanya.
Beliau berkata, kereta api akan mengurangkan kesesakan dan membolehkan penduduk Sabah serta Sarawak, terutama yang tinggal di kawasan luar bandar, mendapat akses kepada pengangkutan kerana tidak semua orang mampu menggunakan kereta.
Kerajaan baru-baru ini bersetuju mempertimbangkan cadangan Sarawak untuk membina landasan Kereta Api Trans-Borneo. Premiernya, Abang Johari Openg berkata, cadangan itu akan merangsang ekonomi wilayah terutama dalam sektor logistik.
Landasan Kereta Api Trans-Borneo pada mulanya dicadangkan bekas perdana menteri Najib Razak kepada Presiden Indonesia Joko Widodo pada 2015 untuk memudahkan pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan.
Ia bertujuan menarik pelaburan bagi memupuk pembangunan ekonomi di rantau ini, selain mempromosikan pelancongan.
Sementara itu, ahli ekonomi Madeline Berma berkata, sambungan landasan tersebut sudah lama tertangguh, memandangkan cabaran pengangkutan dihadapi Sabah dan Sarawak.
“Ia akan membawa lebih banyak pelaburan tempatan dan asing, memacu pertumbuhan ekonomi dan (mewujudkan) peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan,” katanya.
Selain itu, katanya landasan kereta api akan membuka akses kepada pasaran Indonesia dan mewujudkan kerjasama ekonomi yang lebih baik antara kedua-dua negara, terutama apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan.
Berma berkata, pembangunan kedua-dua landasan Kereta Api Trans-Borneo dan Lebuhraya Pan-Borneo penting untuk merangsang ekonomi Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, katanya projek kereta api itu perlu diuruskan secara mampan untuk membawa manfaat kepada masyarakat.