
Peguam Larissa Ann Louis, yang mewakili Norhayati Ariffin, berkata rayuan itu difailkan minggu lepas. Katanya, kerajaan juga telah mendapatkan perintah untuk menangguhkan pengeluaran laporan itu sementara menunggu pelupusan rayuan.
Bulan lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan mendedahkan laporan yang disediakan oleh pasukan petugas khas kepada Norhayati dalam tempoh sebulan mulai 9 Mei.
Mahkamah bagaimanapun berkata, Norhayati hanya boleh menggunakan laporan itu untuk tujuan saman sivilnya, dan beliau dan pasukan guamannya dilarang mendedahkannya kepada mana-mana pihak ketiga.
Kehilangan Amri, pengasas NGO Perlis Hope, pada 2016 mencetuskan inkuiri awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) antara 2017 dan 2019.
Pada 2021, Suhakam membuat kesimpulan bahawa Amri menjadi mangsa kehilangan paksa yang dilaksanakan oleh kerajaan, khususnya menerusi Cawangan Khas polis.
Sebagai tindak balas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat penemuan Suhakam. Pasukan itu diberi masa enam bulan untuk menyiapkan laporannya.
KDN mahupun pasukan petugas tidak mengeluarkan laporan itu walaupun berkali-kali didesak untuk berbuat demikian oleh pelbagai pihak, termasuk Suhakam dan NGO lain.
Pada Disember 2021, Norhayati memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan menyahklasifikasi laporan mengenai kehilangan suaminya.
Laporan itu diklasifikasi sebagai rahsia bawah Akta Rahsia Rasmi, dan dalam permohonan memulakan semakan kehakiman, Norhayati berusaha untuk mengetepikan beberapa peruntukan dalam akta tersebut.
Beliau juga mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan kerajaan, mengklasifikasikan laporan pasukan petugas khas mengenai kehilangan Amri dan Pastor Raymond Koh sebagai rahsia, sebagai bercanggah dengan perlembagaan.