
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid dan Adun Sungai Pinang Lim Siew Khim, meminta polis menyiasat Sanusi berhubung ucapannya merujuk kepada alat kelamin lelaki.
Syerleena dalam kenyataan, berkata ucapan Sanusi merujuk alat sulit lelaki, dianggap “tanpa mengendahkan penontonnya yang juga terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak”, selain tidak menggambarkan dirinya sebagai pemimpin.
Beliau mendakwa, kenyataan Sanusi boleh dikategorikan sebagai kesalahan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam.
Dalam pada itu, Lim menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai “perwatakan kurang beradab” dan “kurang cerdik” bagi seorang pemimpin politik.
“Penggunaan kata-kata lucah tersebut mencerminkan perwatakan kurang beradab dan kurang cerdik, lebih-lebih lagi seorang berjawatan tinggi dan bergelar menteri besar Kedah,” katanya.
Tahun lalu, Sanusi berdepan kritikan kerana didakwa mengeluarkan ulasan merendahkan wanita bertanding sebagai calon di Parlimen Sik.
Dilaporkan, Sanusi menghentam Barisan Nasional dan Pakatan Harapan kerana mencalonkan wanita bagi kerusi itu, selain mendakwa calon dikemukakan tidak berupaya berkhidmat kepada pengundi di kawasan pedalaman.