
Syarikat konsesi projek itu, PJD Link (M) Sdn Bhd, hari ini mengumumkan ia menandatangani perjanjian induk (heads of agreement atau HoA) untuk pembiayaan dengan MCC Overseas (M) Sdn Bhd (MCC Malaysia), anak syarikat China Metallurgical Group Corporation (MCC Group).
Perjanjian itu ditandatangani ketika Forum Pelaburan dan Pembinaan Prasarana Antarabangsa (IIICF) anjuran China International Contractors Association dan Macao Trade and Investment Promotion Institute di Macao, China pada 1 Jun.
Acara itu disaksikan oleh Presiden MCC International Incorporation Ltd, Yang Roubing; wakil-wakil kerajaan wilayah Macao; pemegang jawatan China International Contractors Association; dan CEO Scomi Energy Services Bhd, Amirul Baharom.
“Kini kita boleh teruskan dengan fasa biaya projek kami selanjutnya, yang termasuk memperolehi baki kos projek menerusi pasaran sukuk,” kata CEO PJD Link, Amrish Hari Narayanan dalam kenyataan.
“Keupayaan untuk membiaya projek ini antara syarat dalam perjanjian konsesi, selain mendapatkan persetujuan bagi laporan-laporan impak sosial, alam sekitar, dan lalu lintas.”
Dalam HoA itu, MCC Malaysia akan menjadi kontraktor bagi kejuruteraan, perolehan, dan pembinaan bagi projek itu.
PJD Link akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya dan akan melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Pusat Bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara, dan Taman Teknologi Bukit Jalil.
Matlamat projek itu ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pertumbuhan trafik masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Perjanjian konsesi bagi projek itu ditandatangani dengan kerajaan pada 5 April 2022.