Isu P Pinang milik Kedah, PM perjelas tindakan kerajaan di Parlimen hari ini

Isu P Pinang milik Kedah, PM perjelas tindakan kerajaan di Parlimen hari ini

Anwar Ibrahim akan menjelaskan mengenai tindakan kerajaan terhadap gesaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung status Pulau Pinang.

Pada sesi MQT di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung isu dakwaan Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan Sanusi Md Nor. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR:
Tindakan kerajaan terhadap gesaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor bahawa Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk padamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah, akan dijelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan memandangkan isu itu telah memecah-belahkan perpaduan rakyat khususnya menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Pada 29 Mei lepas, Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Pada sesi MQT, Radzi Jidin (PN-Putrajaya) juga dijadual bertanya mengenai kesan kejatuhan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara dan pendekatan yang akan digunakan untuk mengukuhkan nilai mata wang itu.

Turut menjadi tumpuan hari ini ialah persoalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) pada sesi soal jawab tentang status terkini berserta tempoh jangka siap pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ingin mengetahui langkah yang diambil kementerian terhadap pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Darjah (PBD), susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga termasuk kualiti aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan.

Sejurus selesai sesi soal jawab, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023 dijangka dibaca buat kali pertama.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini bersidang selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Jun selepas bercuti selama seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.