
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tindakan setimpal akan diambil ke pihak yang cuba mengancam sistem beraja dan keluhuran Perlembagaan.
“Kerajaan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok dan diganggu-gugat atas nama kebebasan.
“Lantaran itu, kerajaan pastinya akan mempertahankan dengan memastikan tindakan yang setimpal akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengancam sistem beraja dan keluhuran Perlembagaan,” katanya dalam ucapan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan akan melancarkan
Pelan Perindustrian Negara Ogos ini.
Katanya, kebajikan ekonomi yang direncanakan oleh Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta melonjak pertumbuhan kepada 5.6% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023
Beliau berkata, selain usaha pemulihan ekonomi, kerajaan perpaduan sedang menumpukan usaha untuk menangani isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.
“Beberapa pendekatan seperti konsep payung Rahmah, karnival jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti inisiatif pendapatan rakyat adalah merupakan sebahagian ikhtiar untuk membantu rakyat telah mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia juga akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum-forum antarabangsa khususnya dalam isu-isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana.
Katanya, sumbangan Agong dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan juga amat dihargai.