Padi air masin: Selesai isu pokok pesawah dahulu, aktivis beritahu kerajaan

Padi air masin: Selesai isu pokok pesawah dahulu, aktivis beritahu kerajaan

Sebelum perkenal ‘padi air masin’, selesaikan dahulu masalah pokok belum selesai, kata Mazlan Aliman.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan minggu lalu mengumumkan ia bercadang meneroka tanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan ruji.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menggesa kerajaan tumpu kepada menyelesaikan isu pokok yang membelenggu pengeluaran beras, ketika ia bercadang meneroka tanaman ‘padi air masin’.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Mazlan Aliman, berkata menyelesaikan masalah utama yang menjejaskan pesawah akan lebih bermanfaat berbanding memperkenalkan jenis padi boleh tahan tanah masin.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan minggu lalu mengumumkan ia bercadang meneroka tanaman ‘padi air masin’ dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan ruji.

Menurut Mazlan, isunya bukan kurang tanaman tetapi hasil tanaman kurang daripada jangkaan.

“Selesaikan dahulu masalah pokok seperti tatacara operasi standard tanaman, saliran air, perparitan, serangan penyakit, mahupun benih padi yang berkualiti,” katanya kepada FMT.

“Laksanakan mekanisme tertentu yang mampu tambah pendapatan (petani). Jangan tambah masalah lain.”

Mazlan tidak menolak cadangan ‘padi air masin’ direalisasikan untuk jangka masa panjang, namun kerajaan perlu mengatasi masalah pokok yang belum selesai.

“Kerajaan boleh membuat dasar padi, tetapi yang melaksanakannya di bawah ialah pesawah,” katanya, dan menambah beliau tidak mahu pesawah dan kerajaan kerugian apabila merintis projek baharu.

“Duit habis, petani menjadi mangsa uji kaji. Nasib tak terbela,” katanya.

Pada Januari tahun lalu, Mazlan menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ketika itu menyiasat dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berhubung projek perintis penanaman padi pulut di Langkawi, selepas ia menerima aduan daripada pesawah berhubung “kelemahan pengurusan”.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata pihaknya mendapati kawasan sawah kering kontang dan banyak pokok padi mati akibat ketiadaan bekalan air, selain saliran dipenuhi semak-samun dan tidak dibersihkan.

Tidak lama kemudian, kementerian memasang paip bagi menyelamatkan petak sawah, dan mengadakan dialog dengan peserta projek, antara lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.