Lelaki cuba selamat 2 budak lemas ditemui terapung

Lelaki cuba selamat 2 budak lemas ditemui terapung

Semalam, dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun lemas di Pantai Bagan Lalang.

Mangsa, Muhammad Faizal Mahasan, 29, ditemukan terapung hari ini dipercayai lemas dalam usaha menyelamatkan dua kanak-kanak di Pantai Bagan Lalang. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang lemas ketika cuba menyelamatkan dua kanak-kanak di Pantai Bagan Lalang, Sepang, ditemukan terapung, berdekatan sebuah pusat peranginan, hari ini.

Mangsa, Muhammad Faizal Mahasan, 29, ditemukan orang awam kira-kira 9.30 pagi sebelum dinaikkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Timbalan Ketua Polis Sepang, Md Noor Aehwan Mohammad, berkata mangsa dipercayai lemas dalam cubaan menyelamatkan dua mangsa yang turut lemas, masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung pagi tadi selepas ditangguhkan malam semalam akibat cuaca gelap.

“Operasi pagi ini disertai 15 anggota polis, 10 penyelam Unit Penyelam Klang (bomba), 16 anggota APM dan MPSepang (Pantas) seramai enam orang,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam, dua beradik perempuan masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun ditemukan lemas oleh nelayan dan orang awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.