Peruntuk lebih banyak dana baik pulih tandas, kerajaan diberitahu

Peruntuk lebih banyak dana baik pulih tandas, kerajaan diberitahu

Aktivis pendidikan Mak Chee Kin berkata masalah kekurangan dana menjaga kebersihan tandas perlu diberi keutamaan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyarankan pelajar dididik membersihkan tandas di sekolah. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menyeru kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana kepada sekolah untuk menyelenggara tandas, berbanding mendidik pelajar menjaga dan membersihkan kemudahan itu.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, berkata banyak sekolah mengalami masalah kekurangan dana bagi menjaga kebersihan tandas kerana kos tinggi.

“Menyelenggara tandas bersih bukan murah, dan banyak sekolah tidak mempunyai wang untuk berbuat demikian.

“Kementerian Pendidikan (KPM) perlu sediakan peruntukan dana khas bagi tujuan itu,” katanya kepada FMT.

Mak berkata demikian sebagai mengulas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu murid sekolah dididik mencuci kemudahan tersebut sebagai didikan “menjaga kebersihan dan nilai baik”.

Anwar berkata, amalan itu pernah dibuat ketika beliau menjadi menteri pendidikan pada 1986.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyambut baik saranan Anwar dan berkata KPM akan memperincikan cadangan tersebut dan ruang pelaksanaan yang memberikan impak dan nilai tambah kepada murid secara keseluruhan.

Sementara itu, Mak berkata, tidak realistik mengharapkan pelajar membersihkan tandas sekolah susulan isu kekurangan bekalan air serta masalah kebocoran paip.

“Punca utama tandas kotor dan berbau busuk adalah disebabkan tiada air. Banyak tandas mempunyai isu paip bocor yang menjejaskan pengepaman air,” katanya.

Beliau berkata, pelajar Tingkatan 6 di Melaka yang mana sekolah beliau mengetuai Persatuan Ibu Bapa dan Guru, terpaksa membelanjakan kira-kira RM5,000 untuk tiga tandas mempunyai bekalan air mencukupi.

Beliau juga mendakwa ramai pelajar menahan diri tidak pergi ke tandas sehingga pulang ke rumah.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim, mengalu-alukan cadangan Anwar mengenai mendidik pelajar dalam isu pembersihan tandas.

Beliau berkata, langkah itu boleh menjadi lanjutan daripada tugasan mingguan pelajar dan tiada siapa yang harus dikecualikan.

Katanya, ia dapat membantu membina karakter pelajar serta memupuk sifat empati dalam kalangan mereka, namun beliau menambah pelajar mesti dibekalkan alatan bersesuaian bagi memastikan kecekapan dan keselamatan ketika menjalankan tugasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.