Pemandu disyaki mabuk rempuh mati 3 penunggang motosikal

Pemandu disyaki mabuk rempuh mati 3 penunggang motosikal

Semua mangsa berteduh daripada hujan dalam kejadian di Lebuhraya NKVE pagi tadi.

Sebuah kenderaan dipercayai dipandu lelaki mabuk merempuh mati tiga penunggang motosikal, selain mengakibatkan tiga lagi cedera. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Sebuah kereta merempuh mati tiga penunggang motosikal yang berteduh daripada hujan di bawah jejambat di KM19.6 Lebuhraya NKVE, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata rempuhan itu juga mengakibatkan tiga lagi penunggang cedera.

Beliau berkata, dalam kejadian 5.59 pagi itu, mangsa dipercayai dirempuh lelaki berusia 26 tahun yang memandu kenderaan jenis Honda City dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cyberjaya.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan dalam masa sama melanggar enam penunggang motosikal yang sedang berteduh daripada hujan.

“Tiga penunggang disahkan maut di lokasi, manakala tiga lagi dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.

Fakhrudin turut meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian tampil di balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, R Navalan, di talian 014 2536820 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan pemandu berkenaan dipercayai mabuk.

Menurut laporan itu, hasil ujian mendapati alkohol dalam tubuh pemandu kereta berkenaan melebihi had yang dibenarkan.

Lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.