MyKad, hadiah hari jadi paling bermakna buat Nalvin

MyKad, hadiah hari jadi paling bermakna buat Nalvin

Selepas disahkan sebagai warganegara, Nalvin Dhillon berkata dia kini boleh menyelesaikan banyak urusan.

Nalvin Dhillon mengambil MyKad yang diperjuangkannya beberapa hari menjelang ulang tahun ke-26.
SHAH ALAM:
Hanya beberapa hari menjelang hari ulang tahun kelahiran yang ke-26, Nalvin Dhillon yang menghabiskan lebih sedekad memperjuangkan hak kewarganegaraannya akhirnya menerima kad pengenalan sendiri, satu peristiwa paling penting dalam hidupnya.

Nalvin,yang genap 26 tahun pada 5 Jun, berkata dia tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila melangkah keluar dari pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sambil memegang MyKadnya sendiri yang sudah sekian lama diusahakan.

“Selepas 14 tahun, sudah tentu saya sangat gembira, rasa gembira yang tidak dapat saya ungkapkan. Hari lahir saya Isnin ini, jadi ini adalah hadiah (paling istimewa).

“Saya gembira dan saya tahu ayah saya juga sangat gembira. Kami akhirnya menang dalam perjuangan ini,” katanya kepada FMT.

Nalvin yang bapanya warganegara Malaysia dan ibu warga Filipina, serta dibesarkan di Klang, diberikan perakuan sebagai warganegara Malaysia daripada Mahkamah Tinggi pada April tahun lepas, selepas berjuang menuntut haknya sejak Disember 2009.

Hakim memerintahkan supaya MyKad Nalvin dikeluarkan dalam tempoh 21 hari. Bagaimanapun, dia hanya menerima sijil kelahiran pada Februari.

Nalvin berkata dia kini boleh melakukan semua perkara yang tidak dapat dilakukannya sebelum ini, seperti membuka akaun bank, melanjutkan pelajaran dan membantu individu tanpa kerakyatan yang lain memperoleh hak mereka.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah mendapatkan pasport saya. Saya mahu ke Langkawi dan juga bertemu ibu saudara saya di Australia kerana sebelum ini walaupun untuk melancong dalam negara, anda memerlukan MyKad, dan saya tidak dapat melakukannya sebelum ini,” katanya.

Dia turut berterima kasih kepada semua orang yang menyokongnya perjuangan menuntut haknya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang sentiasa bersama saya, terutamanya ayah dan keluarga. Juga, teman wanita saya yang telah bersama saya selama hampir sembilan tahun dan memberikan sokongan moral kepada saya,” kata Nalvin.

Jasminder Kaur berkata dia tidak sabar untuk mengembara dan melancong bersama teman lelakinya, Nalvin yang sudah bersamanya selama sembilan tahun.

Teman wanitanya, Jasminder Kaur, yang bersamanya di JPN, berkata dia lega kerana hari yang dinantikan itu akhirnya tiba, apatah lagi perjalanan yang terpaksa dilalui teman lelakinya sangat berliku.

“Saya sangat gembira dan teruja untuknya kerana dia akhirnya dapat melakukan semua perkara yang dia mahu lakukan. Saya sangat gembira,” katanya.

Dia turut berbangga kerana Nalvin berpegang teguh pada pendiriannya dan terus memperjuangkan kewarganegaraannya, walaupun banyak rintangan yang dihadapi.

Dia menasihati orang ramai yang berdepan masalah serupa untuk melakukan “apa sahaja yang perlu tanpa putus asa”.

“Sokong pasangan anda (dan orang tersayang) semampunya kerana kadangkala apa yang diperlukan mereka adalah kata-kata semangat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.