Masa sesuai untuk Isa sokong pemimpin muda, kata Umno N9

Masa sesuai untuk Isa sokong pemimpin muda, kata Umno N9

Sekarang masa untuk Umno beri peluang kepada semua peringkat untuk terajui parti dan main peranan sebagai pemimpin, tegas Jalaluddin Alias.

Sekarang masa untuk bekas menteri besar Isa Samad menyokong semua pemimpin muda, kata Umno Negeri Sembilan.
PETALING JAYA:
Umno Negeri Sembilan percaya kepulangan bekas menteri besar Isa Samad ke pangkuan parti itu bukan untuk menempah nama sebagai wakil rakyat.

Pengerusi Jalaluddin Alias berkata selain faktor usia dan masa, beliau mengenali Isa sebagai veteran politik yang memperjuangkan agenda meremajakan Umno.

“Isa tahu pelapis ramai, yang perlu meneruskan khidmat sebagai pemimpin Umno,” katanya kepada FMT. “Waktu inilah masa sesuai untuk dia sokong semua pemimpin muda atau pemimpin pertengahan.”

“Kalau tak bila lagi pemimpin muda ini teruskan kepimpinan dalam Umno? Ini masa untuk bantu kita beri peluang pada semua peringkat untuk terajui parti dan main peranan sebagai pemimpin.”

Umno mengumumkan ia menerima permohonan Isa untuk kembali ke parti itu, minggu lalu. Isa meninggalkan Umno pada 2018 kerana ingin bertanding pada PRK Port Dickson, selepas parti itu tidak meletakkan calon menentang Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Isa yang kini menjadi ahli biasa di Umno Bagan Pinang mengucapkan terima kasih kepada parti kerana meluluskan permohonan yang dihantar pada Julai tahun lepas, dan mahu memenangkan kerajaan perpaduan pada PRN Negeri Sembilan akan datang.

Jalaluddin berkata Umno Negeri Sembilan sedia terima bekas ahli yang ikhlas mahu kembali ke parti itu.

“Isa ini mohon dan merayu jadi ahli semula dah lama, sebelum saya jadi pengerusi pun…pendekatan saya semua pihak berperanan sama ada orang baharu atau lama.”

Beliau menambah sekarang masanya untuk kukuhkan kepimpinan Umno Negeri Sembilan dengan sokongan dan bantuan ahli politik berpengalaman seperti Isa, yang pernah menjadi menteri besar di negeri itu selama 22 tahun.

“Saya ingat waktu PRU10 dan PRU11 banyak wakil rakyat muda diketengahkan Isa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti tidak menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menyumbang kepada Umno.

Mengulas persepsi masyarakat dengan kepulangan Isa, Asyraf menegaskan pendirian parti bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Itu prinsipnya dalam undang-undang,” katanya kepada FMT.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Feb 2021 mensabitkan Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkait pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Hakim Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda. Namun Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Isa sedang merayu di Mahkamah Rayuan terhadap pensabitan itu, dengan prosiding dijadualkan pada 26 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.