Misi minyak sawit berjaya, UK sedia iktiraf MSPO

Misi minyak sawit berjaya, UK sedia iktiraf MSPO

Ia dicapai dalam lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ke United Kingdom pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof diberi taklimat semasa lawatan ke Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford, United Kingdom pada Jumaat. (Gambar Bernama)
LONDON:
Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ke United Kingdom (UK) berakhir dengan jayanya apabila penggubal dasar di sini memberikan komitmen untuk mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam garis panduan terperinci bagi memastikan komoditi yang memasuki negara adalah mampan.

Beliau berkata, ini dicapai dalam pertemuan dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Antarabangsa Nigel Huddleston dan Menteri Negara bagi Pembangunan Antarabangsa, Andrew Mitchell pada Khamis.

“Mereka sangat positif dan telah memberikan komitmen bahawa MSPO akan menjadi sebahagian daripada dokumen yang akan diiktiraf dalam proses ketekunan wajar,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke United Kingdom pada Jumaat.

“Malahan mereka juga berkata apa yang mereka hendak rencanakan daripada peraturan ataupun garis panduan (guideline) daripada undang-undang mereka itu sendiri, mereka menyatakan apa-apa produk bukan bergantung kepada undang-undang di UK akan berpaksikan kepada undang-undang negara pengeluar,” katanya.

Kenyataan mereka itu merupakan satu berita baik untuk Malaysia, kata Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi.

“Sudah pasti kita akan lihat perkara itu secara hitam putih tetapi itu adalah kenyataan awal mereka dan kita tidak sabar-sabar untuk bekerjasama rapat dengan UK,” kata beliau sambil menambah langkah sedemikian akan membuka lebih banyak peluang perniagaan antara Malaysia dan UK.

Penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang Malaysia adalah antara ahlinya, dijangkakan dalam beberapa bulan ini. Ini adalah perjanjian perdagangan pertama Malaysia dengan UK.

Malaysia telah berunding dengan UK untuk memansuhkan tarif minyak sawit Malaysia daripada 12% pada masa ini kepada sifar sebaik menyertai pakatan perdagangan itu.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan UK mencecah lebih USD7.3 bilion pada 2022, dengan UK mencatatkan lebihan dagangan kira-kira USD786 juta.

Bagi 2023, Lembaga Minyak Sawit Malaysia menjangkakan eksport minyak sawit meningkat 3.7% kepada 16.3 juta tan, dipacu oleh permintaan berterusan dari negara-negara pengimport.

Selain itu, Fadillah berkata Malaysia juga perlu bekerjasama dengan kerajaan UK untuk memperkenalkan undang-undang mencegah pelabelan negatif produk-produk dari Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke UK, beliau turut mengadakan taklimat di Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) yang merupakan pusat penyelidikan dan pembangunan Lembaga Getah Malaysia (MRB) berpangkalan di UK.

Beliau juga meluangkan masa untuk berinteraksi bersama pelajar Malaysia di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.