
“Pentadbir sistem eHousemen berhak untuk membatalkan tawaran jika mereka (doktor) menggunakan media sosial atau platform komunikasi lain untuk membincangkan mengenai penempatan berkenaan,” kata emel tersebut yang dilihat oleh FMT.
KKM tidak menyatakan sebarang sebab berhubung amaran berkenaan, namun difahamkan ia dikeluarkan kerana penempatan sebelum ini telah banyak dibincangkan oleh doktor yang terlibat.
Jabatan Sumber Manusia KKM menghantar emel berkenaan kepada 4,263 doktor kontrak yang berjaya dalam temuduga untuk jawatan tetap, selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menemuduga 7,062 pemohon pada Mac.
Seramai 2,138 doktor yang gagal diberikan penempatan diletakkan dalam senarai menunggu.
Lebih 11,500 doktor kontrak telah memohon untuk jawatan UD43.
Pegawai perubatan tersebut mempunyai masa sehingga 15 Mei untuk menerima penempatan. Tidak diketahui berapa ramai yang sudah mengesahkan penerimaan mereka.
KKM menambah bahawa doktor tidak boleh merayu untuk menukar penempatan mereka dan pertukaran suka sama suka juga adalah dilarang.
“Semua penempatan akan berdasarkan kepentingan nasional dan kekosongan yang ada di institusi kesihatan di seluruh negara.
“Individu yang gagal membuat pilihan surat tawaran mereka untuk jawatan tetap akan dibatalkan.”
Menerusi sistem eHousemen, doktor yang berjaya ditempatkan dalam empat fasa antara 9 Jun dan 21 Jun, bergantung kepada tahun mereka mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam.