
Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata dengan adanya sistem baucar, ia memastikan setiap isi rumah menerima bekalan elektrik pada harga pasaran.
Beliau menambah, kelayakan untuk menerima baucar boleh dikira berdasarkan kumpulan pendapatan.
“Isi rumah dalam segmen pendapatan rendah akan menerima baucar yang boleh mereka gunakan untuk membeli produk dan perkhidmatan yang mereka perlukan atau menjual baucar jika mereka tidak menggunakannya,” kata Ferlito kepada FMT.
Beliau mengulas pengumuman dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu bahawa kerajaan akan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa tetapi menghapuskan subsidi untuk kumpulan T20.
Pada Khamis, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata subsidi elektrik yang disasarkan untuk kumpulan T20 akan diumumkan menjelang akhir tahun, selepas sistem pangkalan data bersepadu ditubuhkan.
Ferlito berkata baucar juga boleh digunakan untuk barang dan perkhidmatan subsidi lain, seperti petrol.
Sementara itu, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata dengan menghapuskan subsidi elektrik untuk kumpulan T20, kerajaan boleh menjimatkan hampir RM4 bilion setiap tahun dan ia adalah cara praktikal untuk mengurangkan bil subsidi negara.
Beliau percaya isi rumah T20 cenderung menggunakan elektrik paling banyak kerana kemampuan kewangan bukanlah isu bagi mereka.
“Tentulah, terdapat juga isi rumah yang besar dalam kumpulan pendapatan rendah tetapi ini boleh dikenal pasti dan keistimewaan untuk membantu mengurangkan bil,” kata Williams.