Selesai isu kecekapan AKSB sebelum mohon dana, kata Pemuda Umno Kelantan

Selesai isu kecekapan AKSB sebelum mohon dana, kata Pemuda Umno Kelantan

Ketuanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata masalah bekalan air akan terus berlarutan selagi isu kecekapan pengurusan syarikat pengendali tidak diatasi.

Kerajaan Kelantan sebelum ini memohon dana RM8 bilion dari kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan digesa memberi perhatian terhadap tahap kecekapan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengurus isu bekalan air di negeri itu sebelum memohon dana bantuan daripada kerajaan pusat, kata Ketua Pemuda Umno negeri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Azmawi berkata, masalah bekalan air akan terus berlarutan di Kelantan selagi isu kecekapan pengurusan syarikat tersebut belum dapat diatasi.

“Kecekapan AKSB patut menjadi perhatian utama semua pihak, namun kerajaan negeri masih mengekalkan pengurusan gagal dalam mengharapkan keputusan berbeza.

“Sebab itu apa yang berlaku dalam AKSB itu perlu diberi perhatian sebelum kerajaan Kelantan memohon sebarang peruntukan besar kepada pusat,” katanya menurut Malaysiakini.

Azmawi mengulas laporan kerajaan Kelantan yang memohon dana sebanyak RM8 bilion dari kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu air di negeri itu.

Bagaimanapun, semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak permohonan awal Kelantan itu dengan alasan kerajaan perlu meneliti secara tepat keperluannya.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan.

“Saya tidak setuju kerana saya minta dibincangkan dalam pasukan (petugas) khas untuk meneliti secara tepat, apa keperluannya, dan ada syarat, umpamanya pengurusan (serta) juga memenuhi beberapa pelaksanaan projek.

“Bergantung pada laporan pasukan petugas (khas), saya fikir boleh diturunkan lagi (jumlahnya),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.