
Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, ketika dihubungi mengesahkan tarikh berkenaan.
Naib Ketua Umno Putrajaya, Ahmad Faisal Abdul Karim menfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Putrajaya, manakala Mohd Azmi Mahmood, mewakili calon BN Tengku Razaleigh Hamzah menfailkan petisyen bagi Parlimen Gua Musang.
Radzi memenangi kerusi Putrajaya dengan menewaskan penyandang empat penggal, Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN dengan majoriti 2,310 dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15.
Sementara itu, calon PN daripada Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim memenangi kerusi Gua Musang pada PRU15 dan memperoleh 1,826 undi, menewaskan Tengku Razaleigh.
Dua Mahkamah Tinggi berasingan masing-masing telah membatalkan petisyen pilihan raya itu selepas membenarkan bantahan awal dibangkitkan Radzi dan Mohd Azizi.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan awal Radzi untuk membatalkan petisyen itu selepas memutuskan Ahmad Faisal gagal membuktikan amalan rasuah dilakukan sama ada Radzi atau ejennya.
Terdahulu pada 26 Feb, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak petisyen Mohd Azmi selepas memutuskan petisyen itu difailkan di luar tempoh masa dibenarkan iaitu 28 hari seperti ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ahmad Faisal dan Mohd Azmi kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Dalam petisyen itu, Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Radzi tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Putrajaya, dengan mendakwa wakil PN itu memberi RM150 kepada pengundi sebagai dorongan untuk mereka mengundi Radzi.
Sementara itu, Mohd Azmi dalam petisyennya memohon untuk mengisytiharkan keputusan Parlimen Gua Musang tidak sah, dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan PRK bagi kerusi parlimen itu.