
Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin berkata, usul persendirian itu sudah dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
“Kita akan bawa supaya kerajaan sedar ia salah satu cara selesaikan isu itu buat selamanya,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, terpulang kepada kerajaan sama ada mahu menerimanya atau tidak.
Katanya, penggunaan kalimah “Allah” diperincikan menerusi surah al-Ikhlas, yang jelas menyatakan Tuhan itu Esa dan tidak boleh disamakan dengan lain.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang pada 2021 membenarkan bahan penerbitan agama Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah” secara bersyarat bagi tujuan pembelajaran agama, selepas mendapati wujud percanggahan antara arahan KDN dan keputusan dasar Jemaah Menteri.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita beragama Kristian dari suku Melanau di Sarawak.
Hakim Nor Bee Ariffin dilaporkan berkata, arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, KDN akan mengkaji dan mengemas kini arahan “lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah “Allah”.