
Pemangku Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya mengesan satu video tular di media sosial hari ini yang memaparkan seorang bayi dikasari seorang wanita di sebuah pusat jagaan kanak-kanak.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 21 Mei lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor.
“Satu laporan polis dibuat oleh ibu bayi tersebut pada 21 Mei selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada peha dan pipi anaknya,” katanya dalam kenyataan.
Noor Ariffin berkata, susulan laporan itu wanita berusia 23 tahun itu ditangkap dan pada 30 Mei lalu suspek didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun serta dikenakan perintah khidmat masyarakat.
Tambahnya, pemilik pusat jagaan tersebut juga didakwa di bawah seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak–Kanak 1984, suspek tidak mengaku salah dan sebutan semula kes pada 7 Ogos ini.
Bagaimanapun, bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Pelesenan, Perniagaan Dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan didenda sebanyak RM1,000.
Terdahulu, satu rakaman video tular di Twitter menunjukkan seorang wanita dipercayai pengasuh berkali-kali menampar dan menutup muka seorang bayi dengan kain sebelum ditinggalkan dalam keadaan menangis.
Kejadian tersebut dipercayai dirakam oleh kamera CCTV di pusat jagaan kanak-kanak itu.