Lanjutan reman dibenar untuk bantu siasatan bawah Akta Kastam, putus mahkamah

Lanjutan reman dibenar untuk bantu siasatan bawah Akta Kastam, putus mahkamah

Mahkamah Tinggi Johor Bahru berkata, majistret juga mempunyai budi bicara untuk memerintahkan reman bagi suspek sehingga 15 hari.

Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar berpendapat, majistret terkhilaf apabila gagal menggunakan budi bicaranya untuk mempertimbangkan melanjutkan permohonan reman bagi tiga suspek. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi di Johor Bahru memutuskan bahawa pegawai polis dan kastam boleh mendapatkan lanjutan perintah reman daripada majistret untuk melengkapkan siasatan, maksimum sehingga 15 hari.

Hakim Abu Bakar Katar berkata, majistret juga mempunyai budi bicara untuk serta-merta memerintahkan reman bagi suspek sehingga 15 hari.

Beliau berkata, majistret telah terkhilaf dalam mentafsirkan Seksyen 116C(2) Akta Kastam 1967 yang menetapkan bahawa suspek boleh dikemukakan “dari semasa ke semasa” supaya remannya dilanjutkan, tetapi tidak melebihi tempoh 15 hari secara keseluruhan.

“Mahkamah berpendapat majistret terkhilaf pada 13 Mei (gagal) menggunakan budi bicaranya untuk mempertimbangkan melanjutkan permohonan reman bagi tiga suspek.

“Majistret tidak meneliti diari siasatan pegawai polis (untuk melihat) sama ada terdapat sebab yang sah untuk membenarkan permohonan itu dibuat,” kata Abu Bakar ketika mengetepikan perintah reman yang dikeluarkan oleh majistret.

Pada 8 Mei lepas, Firdaus Arifin daripada IPD Johor Bahru Utara memohon reman enam hari daripada majistret selepas menahan tiga lelaki yang didakwa terlibat dalam penyeludupan rokok dan mengelak pembayaran duti kepada kerajaan.

Oleh kerana polis tidak dapat melengkapkan siasatan, Firdaus pada 13 Mei telah memohon agar perintah reman dilanjutkan.

Majistret bagaimanapun menolak permohonan itu dengan berkata, Seksyen 116 tidak membenarkan pelanjutan reman.

Selain Jabatan Kastam, akta ini juga memberikan kuasa penyiasatan kepada polis.

Abu Bakar memanggil kes itu menerusi semakan bawah Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk melihat sama ada keputusan majistret itu tepat dari segi undang-undang.

Sebelum menyampaikan penghakiman bertulisnya bertarikh 31 Mei, hakim menjemput Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Ghazali dan peguam Rosli Kamaruddin sebagai amicus curiae untuk membantunya membuat keputusan.

Kedua-duanya berhujah bahawa frasa “dari semasa ke semasa” dalam akta itu bermakna, pegawai kastam dan polis boleh memohon reman dilanjutkan tetapi tertakluk kepada tempoh maksimum 15 hari.

Hakim juga bersetuju dengan Rosli bahawa Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan reman sehingga 14 hari, tidak boleh diguna pakai apabila menyiasat kesalahan bawah Akta Kastam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.