Agensi Macau selar dakwaan ‘tak berasas’ SPRM mengenai Jho Low

Agensi Macau selar dakwaan ‘tak berasas’ SPRM mengenai Jho Low

Pejabat Setiausaha Keselamatan Macau (GSS) berkata dakwaan SPRM itu "melanggar norma antarabangsa".

Pada Selasa lalu, Al Jazeera yang memetik seorang jurucakap SPRM sebagai berkata Jho Low dan beberapa individu yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB kini berada di Macau. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Sebuah agensi keselamatan Macau mengecam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, kini “bersembunyi” di bandar itu.

Menurut portal berita Macau Business, Pejabat Setiausaha Keselamatan Macau (GSS) berkata pihaknya “bingung” dengan tuduhan itu dan mendakwa SPRM “melanggar norma antarabangsa”.

GSS menuduh SPRM mengeluarkan maklumat tak berasas dan tidak mendapatkan sebarang pengesahan dari pihak berkuasa di Macau sebelum membuat dakwaan itu, yang sepatutnya dilakukan mengikut protokol antarabangsa.

Menurut GAS, polis Macau tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat peribadi dan hanya boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa negara asing mengikut undang-undang dan norma antarabangsa.

“Ini adalah prinsip yang Macau mesti tegakkan sebagai sebuah bandar antarabangsa dan masyarakat yang mematuhi undang-undang,” katanya.

Pada Selasa lalu, Al Jazeera yang memetik seorang jurucakap SPRM sebagai berkata Jho Low dan beberapa individu yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB kini berada di Macau.

Notis Merah terhadap Jho Low dilulus dan dikeluarkan oleh Interpol pada 2018. Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata usaha untuk memburu ahli perniagaan itu masih diteruskan.

Jho Low yang didakwa di mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat, turut diburu di beberapa negara berhubung tuduhan dalang dalam skandal mencuri USD4.5 bilion dari 1MDB. Beijing sebelum ini menafikan memberi perlindungan kepada lelaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.