
Onn Hafiz berkata, penyelesaian isu itu amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik disalurkan kepada rakyat.
“Antara isu yang dibangkitkan selepas lawatan di HSI yang amat memerlukan penyelesaian segera adalah kekurangan doktor dan jururawat.
“Kekurangan staf di HSI menyebabkan Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.
“Isu sama juga menyebabkan hanya 10 dari 18 bilik pembedahan dapat digunakan di HSI,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Onn Hafiz berkata, isu itu dibangkitkan dalam lawatannya di HSI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan (KKM) Norazman Ayob, semalam.
Katanya, kekurangan doktor dan jururawat juga mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan bermakna ramai juga pesakit yang terkorban sementara menunggu giliran untuk dirawat di HSI.
Media pada 23 Mei lalu melaporkan, Jabatan Kesihatan Johor berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 orang di negeri itu.