Penimbang tara kes Sulu berdepan dakwaan jenayah di Sepanyol

Penimbang tara kes Sulu berdepan dakwaan jenayah di Sepanyol

Gonzalo Stampa didakwa melanggar keputusan mahkamah Madrid membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara.

Pada Februari 2022, Gonzalo Stampa memutuskan Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British.
PETALING JAYA:
Penimbang tara yang mengarahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak yang mengaku waris Sultan Sulu terakhir berdepan pertuduhan jenayah di Sepanyol.

Memetik portal Global Arbitration Review (GAR), The Star melaporkan Gonzalo Stampa didakwa kerana masih meneruskan pendengaran kes Sulu walaupun mahkamah Madrid memutuskan untuk membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara.

Stampa didakwa “tiada kelayakan amalan profesional” dan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.

Portal GAR memetik akhbar Sepanyol, “Expansion” sebagai berkata, 60 pengamal timbang tara telah mengecam pihak berkuasa Sepanyol berhubung pertuduhan terhadap Stampa.

Bayaran tahunan berjumlah RM5,300 kepada waris Sultan Sulu telah dihentikan Malaysia selepas kumpulan bersenjata menceroboh Lahad Datu pada 2013, untuk menuntut kedaulatan ke atas Sabah.

Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis yang dipengerusikan Stampa mengarahkan Putrajaya membayar USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris terakhir Sultan Sulu.

Stampa memutuskan Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah.

Malaysia kemudiannya mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol. Mahkamah Perancis memberikan penangguhan terhadap penganugerahan itu, sementara menunggu keputusan tuntutan Malaysia bahawa perintah itu melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Mahkamah Sepanyol awal tahun ini membatalkan pelantikan Stampa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.