Misi Malaysia, Indonesia ke EU berjaya, kata CPOPC

Misi Malaysia, Indonesia ke EU berjaya, kata CPOPC

CPOPC berkata, terdapat keperluan untuk membuat susulan dalam memastikan perkara dibangkitkan dan dibincangkan diberi perhatian dan ditimbal balik.

Fadillah Yusof (kiri) bersama Airlangga Hartarto (kanan) dan Josep Borrell Fontelles ketika mesyuarat rasmi di Pejabat European External Action di Brussels, Belgium. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Misi bersama Malaysia, Indonesia dan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menyuarakan kebimbangan serta bantahan terhadap pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) disifatkan berjaya.

“Aspek paling penting, terdapat keperluan untuk membuat susulan dalam memastikan perkara dibangkitkan dan dibincangkan diberi perhatian dan ditimbal balik.

“Walaupun Indonesia dan Malaysia tidak menjangka sebarang keputusan segera yang ketara daripada semua pertemuan ini, kedua-dua pemimpin memberikan mesej jelas mengenai kepentingan Kesatuan Eropah (EU) mengambil kira kehendak mereka dan pada masa sama membuka laluan untuk kerjasama pada masa depan,” menurut CPOPC dalam kenyataan dipetik Bernama malam tadi.

Misi itu diketuai bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Fadillah Yusof serta Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, susulan keputusan Mesyuarat Peringkat Menteri Dua Hala CPOPC di Jakarta pada 9 Feb lalu.

Indonesia dan Malaysia melihat EUDR bersifat diskriminasi dan membebankan yang bukan saja akan memberi impak buruk kepada perdagangan antarabangsa, tetapi juga menghalang usaha industri minyak sawit mencapai Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kedua-dua negara menyatakan harapan mereka bahawa EU akan mematuhi prinsip ketelusan, tanpa diskriminasi, selaras peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), terutamanya dalam perdagangan minyak sawit dan produknya.

“Indonesia dan Malaysia percaya EUDR tidak seharusnya mewujudkan gangguan perdagangan atau diskriminasi dari segi liputan produk dan layanan nasional.”

Katanya, walaupun negara membangun terus membina sistem perdagangan pelbagai hala yang mampan, penting untuk peraturan baharu dicapai melalui pendekatan seimbang, inklusif dan bukan sekatan perdagangan.

Libat urus positif

Misi bersama itu mendapat penglibatan positif pelbagai pemimpin suruhanjaya dan Parlimen EU. Pertemuan dijalankan secara mesra, berterus-terang dan terbuka.

Mereka menemui Naib Presiden Eksekutif Rundingan Hijau merangkap Pesuruhjaya Dasar Tindakan Iklim Eropah, Frans Timmermans; Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles; Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Virginijus Sinkevičius; Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan merangkap Ahli Parlimen Eropah (MEP), Heidi Hautala serta Naib Presiden Parlimen Eropah dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Bernd Lange.

Pemimpin Jakarta dan Putrajaya menekankan impak EUDR terhadap rantaian nilai dan sentiasa menekankan keperluan EU bekerjasama dengan negara pengeluar di peringkat kerja dan teknikal.

“Terdapat juga keperluan untuk mewujudkan libat urus rundingan oleh kedua-dua pihak bagi membincangkan cara dan saluran pelaksanaannya.

“Isu yang perlu diselesaikan termasuklah penyertaan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, penerimaan skim pensijilan mampan negara sebagai rujukan kepada garis panduan pelaksanaan, penjelasan teknikal mengenai sistem penanda aras, geolokasi, kesahan dan kebolehkesanan,” katanya.

Menurut CPOPC, misi bersama itu berharap mendapat respons positif terhadap isu dan kebimbangan di atas, terutamanya mewujudkan pasukan petugas bersama.

Kedua-dua pemimpin menegaskan keperluan isu ini perlu diselesaikan berdasarkan impaknya dan berkaitan sistem penanda aras negara dibangunkan Suruhanjaya Eropah, melabelkan sesebuah negara sebagai berisiko tinggi, standard dan rendah memberi implikasi terhadap kedaulatan serta imej sesebuah negara.

“Oleh itu, EU perlu mempertimbangkan dengan teliti dan peka mengenai kesannya. Indonesia dan Malaysia menggesa EU memastikan Indonesia dan Malaysia adalah negara berisiko rendah,” katanya.

Pertemuan dengan pihak berkepentingan minyak sawit, wakil industri dan organisasi masyarakat sivil di Eropah turut diadakan serentak semasa lawatan ke Brussels. Para pemimpin memberi taklimat kepada pelbagai pihak berkepentingan mengenai tujuan lawatan ini dan hasil pertemuan dengan pemimpin EU.

Reaksi positif pemimpin EU

Borrell-Fontelles menyifatkan pertemuan dengan Fadillah dan Airlangga mengenai perkara dua hala, termasuk EUDR sebagai perbincangan konstruktif.

Timmermans pula berkata, pertemuan dengan dua pemimpin Asean itu amat baik.

“Kami amat bersetuju mengenai keperluan untuk usaha (berkaitan) iklim dan alam sekitar serta akan mengendalikan perbincangan bersama rakan mengenai pelaksanaan undang-undang antipembasmian hutan EU di Malaysia dan Indonesia,” kata Timmermans menerusi catatan di Twitter.

Sinkevičius berkata, beliau amat berpuas hati dan gembira atas pertemuan dengan Fadillah serta Airlangga, manakala Lange menyuarakan sokongan jawatankuasa itu kepada Malaysia dan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.