
Dengan berbuat demikian, kata Rayer, Sanusi mengakui Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat dalam persekutuan.
“Kini beliau minta perlembagaan dipinda. Jadi, dakwaannya (bahawa Pulau Pinang milik Kedah) jelas tidak berasas, tidak cerdik, dan boleh mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan huru-hara,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis Pulau Pinang Timur Laut hari ini.
Beliau berkata, kenyataan Sanusi itu memaksa beliau membuat laporan polis kedua terhadap menteri besar itu.
“Seorang menteri besar mempertikaikan kedaulatan sebuah negeri yang ditubuhkan dan diiktiraf bawah Perlembagaan, ini (perkara) ekstrem,” kata Rayer.
Rayer berkata, kenyataan Sanusi boleh ditafsirkan sebagai hasutan, dan beliau berharap agar polis mengambil tindakan.
Semalam Sanusi dilaporkan berkata, Perlembagaan mesti dipinda bagi menggambarkan Pulau Pinang milik Kedah.
Beliau berkata demikian berikutan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memintanya “memahami Perlembagaan Persekutuan”, yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri persekutuan.
Menteri besar Kedah itu berkata, kajian sejarah dan akademik menyokong dakwaannya, dan generasi sekarang perlu membetulkan “sejarah yang dijulingkan” dan meminda Perlembagaan sewajarnya.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang turut hadir, berkata dakwaan Sanusi “bercanggah dengan perlembagaan”.
“Dan jika (dakwaannya) bercanggah dengan perlembagaan, maka ia salah di sisi undang-undang,” katanya.
Pada Februari, Rayer membuat laporan polis terhadap Sanusi kerana mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.
Beliau mendakwa Sanusi bukan sahaja mempersoalkan kesahihan Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga pelantikan Yang di-Pertua Negeri oleh Yang di-Pertuan Agong.