Ahli Parlimen PAS senada KJ, lantik Johari menteri kewangan II

Ahli Parlimen PAS senada KJ, lantik Johari menteri kewangan II

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Che Sulaiman berkata pelantikan itu penting kerana sebahagian tugasan sulit ini tidak boleh diserahkan kepada timbalan menteri.

Mohd Syahir Che Sulaiman mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani dilantik menteri kewangan II bagi meringankan beban perdana menteri.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bachok daripada PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani dilantik sebagai menteri kewangan II, beberapa hari selepas Khairy Jamaluddin memberi cadangan serupa kepada Anwar Ibrahim.

Syahir berkata, perlantikan menteri kewangan II itu bagi membantu meringankan beban perdana menteri sebagai menteri kewangan kerana timbalan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Diketahui bahawa tugas menteri kewangan sangatlah rumit, perlu membuat banyak keputusan penting, menyemak dan menandatangani dokumen setiap hari. Malah sebahagian tugasan sulit ini tidak boleh diserahkan kepada timbalan menteri kewangan.

“Apatah timbalan menteri bukanlah ahli Jemaah Menteri. Justeru bagi meringankan beban YAB (perdana menteri) saya syorkan bolehlah dilantik seorang menteri kewangan kedua dari kalangan teknokrat berkaliber, ataupun lantak YB Ahli Parlimen Titiwangsa yang tidak kurang layaknya, seperti dicadangkan oleh Saudara Khairy tempoh hari,” katanya dalam kenyataan.

Syahir mengemukakan cadangan itu sambil menjelaskan kritikannya sebelum ini mengenai kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki menteri kewangan sepenuh masa bukan untuk menyalahkan Anwar sebaliknya jalan penyelesaian perlu dilakukan kerajaan.

“YAB, saya tidak sebut puncanya, tetapi fokus kepada penyelesaiannya.

“Negara memerlukan seorang menteri kewangan sepenuh masa di MOF, ‘a strong, formidable, convincing finance minister’, kerana hampir mustahil perdana menteri boleh memikul dwi-fungsi ini dalam tempoh kritikal sekarang,” katanya.

Terdahulu Anwar menyangkal kejatuhan ringgit ketika ini disebabkan ketiadaan menteri kewangan sepenuh masa.

Ketika menyangkal dakwaan Syahir, perdana menteri menjelaskan, kejatuhan ringgit disebabkan pelbagai faktor antaranya kekangan antarabangsa.

Syahir sebelum ini menyatakan bahawa kejatuhan ringgit disebabkan Malaysia tidak memiliki menteri kewangan sepenuh masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.