
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ini ialah program peluasan imunisasi pneumokokal, memandangkan sebelum ini, kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 tidak termasuk dalam kumpulan sasaran bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 hari ini, Zaliha berkata, kanak-kanak berusia empat dan lima tahun akan diberikan satu dos vaksin, berbanding bayi yang diberikan sebanyak tiga dos pada usia empat bulan, enam bulan dan 15 bulan.
“Ibu bapa atau penjaga yang ingin mendapatkan vaksin pneumokokal untuk anak boleh datang terus ke klinik-klinik kesihatan dan desa di seluruh negara atau membuat janji temu di aplikasi MySejahtera,” katanya.
Vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae, atau dikenali sebagai pneumokokus.
Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria itu termasuk radang paru-paru (pneumonia); radang sinus; jangkitan telinga tengah; radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis); serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).
Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.
KKM mula melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal bawah Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1 Dis 2020 bagi kanak-kanak yang lahir bermula 1 Jan 2020.
Zaliha berkata, KKM menyasarkan 700,000 atau 70% daripada sejuta kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 diberikan vaksin pneumokokal dalam tempoh setahun.
Bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit, antara lainnya Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi) dan Pertussis (batuk kokol).
“Kini pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi pada peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu melebihi 95% bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi,” katanya.