
Menteri Zahid Hamidi menyifatkan skim gaji ketika ini tidak adil kerana ramai pendidik di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) bawah kementerian itu berkelulusan diploma dan ijazah.
“Kita akan bincang dan perincikan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan sesi libat urus program Tabika Pra Tahfiz Kemas.
Mengulas program itu, Zahid berkata 100,000 kanak-kanak Tabika Kemas disasarkan menjadi “huffaz cilik” menjelang 2026.
Program yang bermula Julai itu menggabungkan tujuh eleman, iaitu mengaji, menghafaz, membaca, menulis, mengira, menaakul dan manusiawi.
“Di peringkat permulaan, 100 Tabika menjadi ‘pilot project’ program ini dan akan diperluaskan kepada 4,000 kelas tahun depan, disusuli 3,000 kelas pada 2025 dan menjelang 2026, semua Tabika Kemas akan melaksanakan modul ini.”
Terdapat 216,322 murid di 10,701 Tabika Kemas di seluruh negara ketika ini.