
Naib Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata peruntukan itu membolehkan gabenor melantik ketua parti dengan paling banyak kerusi sebagai ketua menteri, walaupun tiada majoriti mudah diperoleh dalam DUN.
Ini membolehkan parti yang menang paling banyak kerusi memimpin kerajaan negeri, dan kemudian menjemput pihak lain menyertai pentadbiran, katanya.
Menurutnya, jika Perlembagaan Persekutuan mempunyai klausa sama, Anwar Ibrahim dapat membentuk kerajaan minoriti sejurus tamat PRU15 tanpa memerlukan kerja sama dengan gabungan lain bagi mendapatkan majoriti mudah terlebih dulu.
“Perkara 6(7) jelas menyatakan pemimpin parti yang bertanding dalam pilihan raya dan memiliki paling banyak kerusi akan menjadi ketua menteri.
“Jika klausa sama wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hanya perlu memastikan orang yang memenuhi peruntukan Perkara 6(7) menjadi perdana menteri,” kata ADUN Moyog itu kepada FMT.
Menurutnya, susulan itu perdana menteri boleh menjemput ketua parti politik lain untuk menyertai kerajaan.
Bekas menteri persekutuan itu menyuarakan kebimbangan bahawa PRN Sabah akan datang akan melihat “tawar-menawar” sengit selepas hari pengundian, sekiranya tiada parti memperoleh majoriti mudah 40 kerusi dalam DUN.
Leiking berkata, ini kerana tiada parti dapat membentuk kerajaan negeri tanpa mendapat majoriti mudah dalam DUN.
Katanya, penggunaan semula Perkara 6(7) yang dimansuhkan itu akan menjadi sebahagian daripada manifesto Warisan untuk PRN akan datang.
Warisan menang 29 kerusi dalam PRN Sabah pada 2020, tetapi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor membentuk kerajaan dengan 41 kerusi.
Kerajaan GRS ketika itu merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah, dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Warisan mendakwa ia sepatutnya membentuk kerajaan negeri dengan presidennya Shafie Apdal sebagai ketua menteri memandangkan ia satu-satunya parti yang mendapat bilangan kerusi paling banyak dalam pilihan raya itu.
Jumaat lalu, DUN Sabah meluluskan rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti, tetapi memansuhkan Perkara 6(7) daripada perlembagaan negeri.
Walaupun RUU itu diluluskan sebulat suara, Warisan mengundi menentang pemansuhan itu.
Menjelaskan pemansuhan itu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata Perkara 6(7) adalah tidak konsisten dengan Perkara 6(3), yang menyatakan bahawa ketua menteri mesti menguasai majoriti DUN.