Kembalikan pendengaran fizikal kes sivil, kata bekas peguam negara

Kembalikan pendengaran fizikal kes sivil, kata bekas peguam negara

Tommy Thomas berkata sistem terbuka telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara selama berabad-abad.

Perbicaraan dalam talian di mahkamah maya diperkenalkan semasa pandemik Covid-19.
PETALING JAYA:
Bekas peguam negara Tommy Thomas menggesa badan kehakiman untuk kembali melaksanakan pendengaran kes sivil secara fizikal memandangkan pandemik Covid-19 sudah berakhir.

Thomas berkata prosiding dalam talian bermula pada 2020 sebagai langkah sementara ketika pandemik berleluasa.

Bagaimanapun katanya, dengan Covid-19 kini dianggap sebagai penyakit biasa, sudah tiba masanya bagi mahkamah untuk kembali kepada prosiding secara bersemuka.

“Keadilan yang terbuka, telus dan bertanggungjawab memerlukan ruang mahkamah terbuka kepada orang ramai dan akhbar. Ini adalah asas kepada pentadbiran keadilan,” katanya kepada FMT.

“Kita mesti segera kembali kepada sistem terbuka yang telah memberikan perkhidmatan yang baik selama berabad-abad.”

Thomas, yang merupakan peguam negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan permohonan injunksi dibicarakan semula selepas kamera video hakim yang mengendalikan perbicaraan berkenaan dimatikan semasa perbicaraan dalam talian tahun lepas.

Hakim Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga panel yang dipengerusikan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, berkata perbicaraan yang dijalankan melalui Zoom manakala video hakim dimatikan telah menjejaskan kewajaran kes itu.

Mahkamah mendengar perbicaraan dimulakan dengan kamera video pesuruhjaya kehakiman dan semua pihak dihidupkan. Bagaimanapun, beberapa minit selepas prosiding, video itu dimatikan, menyebabkan pihak berkenaan dapat mendengar tetapi tidak dapat melihatnya.

Mereka yang hadir di hadapan pesuruhjaya kehakiman membawa perkara itu kepada perhatiannya tetapi tetapi diberitahu untuk meneruskannya. Pemaju hartanah yang memohon injunksi kemudian tidak dibenarkan memfailkan rayuan.

Bagaimanapun, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan berkata beliau tidak mempunyai masalah jika kes sivil didengar dalam talian kerana pendengaran maya menjimatkan masa dan kos.

“Ia membabitkan perbelanjaan apabila peguam terpaksa melakukan perjalanan jauh, katakan dari Kota Bahru atau Johor Bahru, ke Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

“Malah saksi di luar negara tidak perlu pergi ke sini untuk memberi keterangan semasa perbicaraan,” kata Ragunath, sambil menambah setakat ini, tiada aduan mengenai saksi dilatih semasa memberi keterangan.

Pada Januari, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata mahkamah maya dan perbicaraan dalam talian yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 akan kekal sebagai sebahagian daripada sistem kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.