Warden pusat tahfiz tak mengaku salah tumbuk, pijak pelajar

Warden pusat tahfiz tak mengaku salah tumbuk, pijak pelajar

Muhammad Farhan Abdul Rashid didakwa mendera pelajarnya termasuk merotan dan memijak perut serta dada hingga cedera.

Warden sebuah pusat tahfiz Muhammad Farhan Abdul Rashid yang juga warga Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menumbuk dan memukul pelajarnya.
PETALING JAYA:
Seorang warden sebuah pusat tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka kerana didakwa mendera pelajarnya termasuk merotan dan memijak perut serta dada hingga cedera, pada Februari lalu.

Sinar Harian melaporkan, tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashid, 35, yang merupakan warganegara Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan di dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan dengan mendedahkan remaja itu kepada bahaya.

Mangsa ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, ditendang pada perut dan dipijak pada dada, manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah guru di Pusat Tahfiz Al-Islah Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Baru bertam, Malim di sini pada 7 dan 8 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan dua pelajarnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun kepada bahaya dengan cara menampar pipi dan memukul badan sebelah kiri mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perutnya.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Pihak pendakwaan juga tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira keselamatan mangsa dan bimbang sekiranya tertuduh keluar dari negara ini dalam tempoh kes sedang berjalan.

Tertuduh diwakili peguam Faathir Imran bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan kerana pusat tahfiz terbabit telah ditutup operasinya dan pelajar telah pulang ke rumah masing-masing.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Jun depan.

Media pada 12 Mei lalu melaporkan, enam pelajar pusat tahfiz di negeri ini nekad membongkarkan perbuatan keji yang dilakukan pengasas tahfiz dan penderaan oleh warden asrama itu setelah beberapa kali didakwa menjadi mangsa liwat dan dera.

Ketua Polis Melaka Zainol Samah berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun, mendedahkan perkara itu setelah keenam-enam mereka tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.