
Ketua Wanita itu berkata Umno masih belum memenuhi agenda 30% wanita di peringkat kepimpinan mahupun calon pilihan raya, meskipun usaha berterusan semua pemimpin sayap dari sebelum beliau menggalas jawatan itu pada 2018.
“Ramai yang berkelayakan. Wanita ini bagi apa-apa tugasan dia akan buat lebih baik daripada lelaki,” katanya kepada FMT, ketika ditemubual di ibu pejabat Umno kebangsaan di ibu negara.
“Sebab amanah dilaksanakan bukan hanya 100% tetapi 200% sebab nak buat yang terbaik untuk wanita. Bukan hanya untuk kaum wanita tetapi keseluruhan. Menteri wanita tidak akan abai lelaki tetapi akan buat dasar berkaitan keluarga dan kanak-kanak.”
Pada PRU 2022, Umno secara keseluruhan bertanding di 120 kerusi. Menurut Noraini, Umno mengetengahkan 14 calon wanita – suatu peningkatan yang boleh ditambah baik lagi.
“Usaha dapatkan 30% takkan terhenti. Sudah mula dari dahulu. Tengok statistik lepas dengan pilihan raya baru-baru ini. Dulu calon sembilan orang sekarang 14 orang.
“Malah sekarang ini untuk PRN sedang memastikan calon-calon kita dapat diutarakan,” katanya, dan menambah usaha merealisasikan lebih ramai wanita dalam politik memerlukan penglibatan semua pihak dan merentas parti.
“Semua parti sedang kejar (agenda) dan belum ada satu parti capai 30% perwakilan wanita,” katanya.
Noraini tepis dakwaan proksi
Dalam pada itu, Noraini turut ditanya mengenai hubungannya dengan bekas ketua Wanita, Shahrizat Jalil, yang tewas pada pemilihan Umno baru-baru ini.
Beliau menepis dakwaan pemerhati bahawa persaingan mereka merupakan pertembungan antara proksi Presiden Zahid Hamidi, dengan bekas presiden, Najib Razak.
“Kita semua proksi Umno…mana ada proksi individu,” katanya kepada FMT.
Pemilihan Umno bagi penggal 2023-2026 menyaksikan pertandingan sengit bagi dari peringkat naib presiden hingga ahli MKT, ketua tiga sayap dan naib masing-masing.
Sesetengah pemerhati menyifatkan pemilihan itu pertembungan antara kumpulan yang menyokong Zahid dan yang menolak beliau, berlatarkan ketidakpuasan hati akar umbi Umno terhadap Bersatu dan kelompok yang mahu meneruskan kerjasama itu, dan kes Zahid di mahkamah.
Zahid yang mempertahankan kedudukannya kerana jawatan presiden tidak dipertandingkan kemudian melantik Shahrizat sebagai ahli majlis kerja tertinggi.
“Pertandingan berjalan dengan baik. Saya dapat mempertahankan jawatan saya selaku ketua Wanita tapi Shahrizat pun dilantik menjadi ahli MKT. Kerjasama itu (Noraini dan Shahrizat) akan dijalankan,” katanya.
Noraini menyifatkan pertembungan itu sebagai persaingan antara profesional dalam politik.
“Hubungan saya dengan Shahrizat, Alhamdulillah. Waktu pemilihan itu, pemilihan lah. Selepas itu memang saya tak ada masalah,” katanya.