Subsidi tiket penerbangan Malaysia Timur, kementerian nafi ‘pinggir’ Labuan

Subsidi tiket penerbangan Malaysia Timur, kementerian nafi ‘pinggir’ Labuan

Kementerian Pengangkutan berkata Labuan turut termasuk dalam inisiatif subsidi tiket penerbangan menjelang Kaamatan dan Gawai.

Kerajaan dianggarkan akan berbelanja antara RM5.8 hingga RM11.4 juta bagi pemberian subsidi tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan menafikan dakwaan Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional bahawa Labuan dipinggirkan daripada menerima subsidi tiket penerbangan, menjelang sambutan Kaamatan dan Gawai.

Kementerian itu berkata penerbangan ke Labuan termasuk dalam inisiatif Putrajaya memberikan subsidi tiket penerbangan untuk ke Malaysia Timur, ketika musim perayaan.

“Dakwaan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengatakan subsidi disediakan Kementerian Pengangkutan tidak melibatkan Labuan tidak benar,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Pada Ahad, Suhaili mempersoalkan kenapa kepulauan itu di Borneo dipinggirkan daripada menerima subsidi tiket penerbangan menjelang dua sambutan tersebut.

Inisiatif kerajaan bagi laluan sehala tiket penerbangan ke Malaysia Timur ditetapkan pada harga RM300, tidak termasuk cukai dan fi.

Kerajaan dianggarkan akan berbelanja antara RM5.8 hingga RM11.4 juta bagi tujuan itu.

Kaamatan disambut hari ini, manakala Gawai pada 1 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.